Planet Marikh akan kelihatan lebih besar dan terang dalam masa beberapa minggu akan datang selepas 15 tahun lalu, menurut NASA.
Agensi berita Xinhua melaporkan pada 31 Julai depan, planet Marikh mengorbit pada kedudukan paling hampir dengan Bumi iaitu kira-kira 57.6 juta kilometer.
Jarak antara Bumi dengan Marikh itu adalah paling hampir dicatatkan sejak tahun 2003. Apabila Marikh dan Bumi rapat antara satu sama lain, Marikh akan kelihatan sangat terang di langit.
Keadaan itu membolehkan ia mudah dilihat menggunakan teleskop atau mata kasar dan fenomena tersebut hanya berlaku sekali atau dua kali dalam tempoh 15 atau 17 tahun.
Paling terbaru fenomena berkenaan berlaku ialah pada tahun 2003, apabila jarak itu hanya 55.7 juta kilometer jauhnya.
Seorang ahli astronomi di Balai Cerap Cincinatti, Dean Regas memberitahu kepada Mother Nature Network, apa yang berlaku kali ini adalah peluang terbaik untuk orang ramai melihat Marikh.
Marikh akan dapat dilihat dengan mata kasar. Ia akan kelihatan seperti cahaya lampu oren yang menyala di tenggara selepas matahari terbenam.
Menurutnya ia akan menjadi lebih terang dari mana-mana bintang yang lain, lebih terang dari Musytari hampir cerah seperti Venus.
Selain itu, orang ramai boleh melihatnya pada setiap malam untuk beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun katanya, Marikh akan kelihatan semakin malap pada pertengahan Ogos depan kerana planet merah dan Bumi akan bergerak lebih jauh dari satu sama lain di orbit ketika mengelilingi matahari. - Bernama
19 Jun 2018
EmoticonEmoticon